19 Jun 2013

Kos Ubat Meningkat 60% hingga 80% jika TPPA dilaksanakan

Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifk (TPPA) yang dijangka dan bakal ditandatangani pada bulan Oktober tahun ini pastinya mendatangkan khabar yang buruk bagi orang-orang kebanyakan seperti kita semua. Orang-orang yang sakit dan kerap memerlukan ubat-ubatan berpreskripsi yang sebelum ini menderita menjadi lebih jerih dengan kenaikan kos ubat-ubatan sebanyak 60% hingga 80%.

Diri saya sendiri pastinya terkesan secara langsung apabila terlaksananya perjanjian ini kelak. Saya adalah pengguna ubat antihistamine oleh kerana saya mengalami alahan. Ubat-ubatan antihistamine yang pada kebiasaannya saya membelinya sepapan berharga RM10 di farmasi berkemungkinan akan meningkat kepada RM18 sepapan. Tambah-tambah macam keadaan jerebu sekarang ni. Makin teruk resdung saya ni jadinya.

Dalam kandungan perjanjian ini, Amerika Syarikat mahukan negara-negara yang terlibat di dalam perjanjian ini bersetuju dengan pelaksanaan Hak Harta Intelek (Intelectual Property, IP). Secara tidak langsung, ia bakal memberikan pulangan besar kepada syarikat-syarikat pengusaha ubat-ubatan dari Amerika Syarikat. Sebagaimana yang diketahui umum, kebanyakan paten-paten ubat-ubatan kebanyakannya yang digunapakai oleh farmasi-farmasi, klinik-klinik dan hospital di seluruh Malaysia dipegang oleh syarikat-syarikat farmasi dari Amerika Syarikat.

Ubat-ubatan yang dibekalkan di farmasi-farmasi, klinik-klinik dan hospital sama ada kerajaan mahupun swasta di Malaysia kebanyakannya ubat-ubatan generik yang dihasilkan oleh syarikat tempatan. Ia masih memberikan kesan yang sama sahaja dengan ubat-ubatan 'asli' yang dipasarkan oleh syarikat ubat-ubatan multinasional dari Amerika Syarikat. Namun, ianya jauh lebih murah berbanding dengan ubat yang 'asli'.

Kesan jangka panjang perjanjian ini terutama golongan berpendapatan rendah adalah ia bakal menaikkan kos sara hidup rakyat dari segi belanja perubatan. Di samping itu, ia juga bakal memberikan kesan terhadap para pengusaha tanaman padi di Malaysia apabila lambakan padi yang bersubsidi dari Amerika Syarikat bakal dipasarkan ke Malaysia. Sebagaimana yang pernah terjadi pada eksport tanaman gandum dari Amerika Syarikat ke negara-negara Eropah yang menjejaskan kehidupan petani mereka.

Tidak banyak maklumat berkenaan keseluruhan isi kandungan perjanjian ini yang boleh diperolehi. Secara sepintas lalu, saya berpendapat perjanjian ini memberikan kesan buruk terhadap majoriti rakyat Malaysia, sama ada rakyat berpendapatan rendah mahupun yang sederhana.

Saya tidak pasti sama ada golongan berpendapatan tinggi turut sama menerima kesan negatif dari penjanjian ini atau mereka turut sama bersetuju dengan pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (Trans-Pacific Partnership Agreement, TPPA) untuk mendapatkan laba yang lebih besar?

Maklumat lanjut boleh didapati dari laman web Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan