Langit petang semalam di Kuala Lumpur diselubungi jerebu tebal. Kiriman khas dari Indonesia ini boleh dikatakan berlaku setiap tahun. Kali ini kiriman datangnya dari Sumatera, merentasi Selat Melaka.
Usai punch card tepat jam 5.30 petang, aku selaku penjawat awam bertaraf SPM, terus meluru keluar dari pejabat menuju ke ruang terbuka parkir motosikal. Sebelum mengangkat tongkat motosikal, tanganku mencapai kain napkin di dalam beg untuk dilipat dan dijadikan sebagai topeng jerebu. Aku membetulkan tekupan napkin pada muka untuk diselaraskan dengan kedudukan helmet aku. Melalui cermin sisi, kelihatan wajahku seakan-akan watak di dalam filem ninja.
''Ninja pekebenda pakai napkin ada gambar-gambar 'Hello Kitty' kaler pink,'' getus hatiku.
Di atas motor, selesai menghidupkan enjin dan membaca, ''Subhanallazi sakharalana haza wamakunnalahu mukrinin, wainnaila rabbana lamun qalibun,'' aku memasukkan gear satu dan menggerakkan motorsikal dengan memulaskan throttle dengan cermat. Tiba-tiba terdengar satu suara parau menegurku.
''Orang Perak ke yeop?''
Kelihatan seorang pengawal keselamatan sedang duduk di bahu jalan sambil sebatang rokok diselitkan pada jari sebelah kanannya.
Aku menegur, ''Mana tau?''
''Nu, tengok plet moto nu,'' pakcik jaga yang berusia di dalam lingkungan 50'an itu menjuihkan mulutnya ke arah motosikal aku yang nombor pendaftarannya bermula dengan huruf A.
Kenderaan yang didaftarkan di negeri Perak menggunakan huruf A. Penggunaan huruf A adalah kerana penduduk Perak adalah golongan pertama yang mampu memakai kenderaan bermotor di Tanah Melayu. Faktor ini adalah disebabkan negeri Perak adalah negeri terkaya suatu masa dahulu disebabkan hasil bijih timahnya.
Kembali kepada pakcik jaga tadi, melihat kepada gayanya yang ingin berborak, aku memberhentikan motosikal.
''Saye kampung kat Batu Gajah. Pakcik asei(asal) mane?''
''Pakcik aseinye Gopeng,'
''Oooooo...''
Perbualan berterusan dengan penceritaan yang lebih tertumpu kepada betapa 'awesome'nya negeri Perak disamping sekali sekala diselitkan dengan hal-ehwal politik semasa dan kebajikan para pekerja. Sambil berbual, sudah 3 batang rokok habis dihisap oleh pakcik jaga. Tidak pula dipelawanya kat aku. Mungkin dia tau aku bukan seorang perokok. Atau mungkin, hisap rokok sambil menghirup udara jerebu sewaktu petang adalah suatu nikmat yang sangat melekakan?
Suasana langit yang kelam dan suram membuatkan aku sukar untuk mengagak waktu. Sedar-sedar jam sudah menunjukkan 6.30 petang.
Aku meminta izin untuk bergerak pulang. Pakcik jaga menghabiskan rokoknya yang terakhir sebelum menekup mukanya dengan topeng jerebu.
''Time-time jerebu ni kene jage kesihatan yeop. Kamu naik motor ni eloknye kene pakei topeng N95 nu. Tahan sikit sebabnye ni gred perindustrian punye ni. Macam yang pakcik tengah pakei sekarang ni,''
Oh, tak sangka aku berborak dengan seorang pakcik yang 'amat genius' sebentar tadi.
Perokok tegar - cuma nampak jerebu yang bahaya. Asap rokoknya juga menyumbang pada kemusnahan manusia dan bumi. Buat-buat tak nampak pulak dia. Hem ..
BalasPadam'jerebu' yg dtgnye dr diri sendirik. hu3..
BalasPadam