
Ramai dikalangan penjawat awam yang langsung tidak mempunyai wang simpanan untuk kegunaan sewaktu kecemasan. Namun begitu, ia tidak menghalang mereka untuk memohon pinjaman peribadi daripada institusi kewangan bukan-bank (non-bank financial institute, NBFI) yang ternyata memberi risiko terhadap kerjaya mereka.
Encik Mohd Herman bin Che Rahim merupakan salah seorang yang terperangkap di dalam belenggu hutang.
Beliau mempunyai gaji bulanan sebanyak RM1700.00 dan berkhidmat sebagai Pembantu Am Pejabat di Jabatan Kerja Raya. Namun begitu, beliau membelanjakan sebanyak RM1480.00 sebulan untuk membayar ansuran bulanan pinjaman peribadi dan pembiayaan kereta tanpa sebarang kerisauan jikalau tidak mampu untuk membayarnya suatu hari nanti.
Sebagaimana penjawat awam yang lain, beliau yakin dengan kerjaya yang terjamin menyakinkan pihak bank untuk memberikan pinjaman kewangan kepada penjawat awam dalam jumlah yang besar.
''Saya kerja kerajaan bang,'' ujar Encik Mohd Herman ketika ditemubual. ''Saya ni ada insurans cover saya, pastu bila dah tua nanti dapat pencen. Kalau kerja kerajaan ni, lagi senang nak buat loan. Asal jangan potong lebih daripada 60 persen gaji bulan-bulan, sudahlah,''
Pada tahun 2007, Encik Mohd Herman membuat pinjaman peribadi sebanyak RM90,000 dari Bank Rakyat untuk membiayai perbelanjaan majlis perkahwinan, membuat bayaran pendahuluan pembelian kenderaan Honda Civic, pembelian telefon pintar, kelengkapan perabot rumah dan juga pembelian peralatan kamera DSLR untuk kerja sambilan beliau sebagai jurufoto perkahwinan.
Bayaran bulanan pinjaman peribadi beliau bagi setiap bulan adalah sebanyak RM900, manakala ansuran bulanan untuk pembelian Honda Civic beliau adalah sebanyak RM580.
Encik Mohd Herman menampung pendapatannya dengan menjalankan kerja sambilannya sebagai jurufoto perkahwinan. Anggaran pendapatan dari kerja sambilan beliau adalah sekitar RM2000 setiap bulan. Beliau menanggung isterinya yang bertugas sebagai surirumah sepenuh masa serta dua orang cahaya mata yang berusia 5 tahun dan 7 bulan. Beliau sekeluarga tinggal di rumah satu tingkat di Jitra, Kedah. Rumah yang mereka duduki disediakan oleh bapa mertua beliau.
Beliau mengakui adalah sukar untuk membuat simpanan kewangan dan pendapatannya hanya sekadar 'cukup-cukup makan' sahaja. Namun, perkara tersebut bukanlah menjadi penghalangnya memiliki telefon pintar berharga ribuan ringgit untuk mengikuti trend semasa.
''Smartphone ni dah jadi keperluan zaman sekarang ni,'' ujar beliau. ''Semua orang pakai smartphone sekarang ni, sampai ke makcik-makcik pun dah reti pakai smartphone,''
Tambah beliau berkenaan pemilihan Honda Civic berbanding kereta buatan nasional yang lebih murah adalah oleh kerana ianya 'lebih berkualiti'. ''Kalau nak beli kereta, mestilah kita nak yang boleh tahan lama,''
Beliau turut menyatakan bahawa, pembelian yang dilakukannya adalah berdasarkan 'keperluan dan bukannya kehendak' dengan mendakwa jumlah pembiayaan sebanyak RM90,000 yang dipinjam beliau itu masih dikirakan agak kecil. Beliau mendapat tahu, ramai lagi yang meminjam lebih banyak daripada yang dilakukan beliau sehinggakan ada yang pinjaman mencecah dari RM100,000 hingga ke RM200,000.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, pakar-pakar ekonomi menyatakan perlunya pemantauan yang lebih tegas terhadap NBFI yang memberikan pinjaman peribadi terutamanya dikalangan penjawat awam. Faktor ini didorong di atas kebimbangan kerentanan golongan berpendapatan rendah semasa kegawatan ekonomi.
Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan pada Mac lalu bahawa 80 peratus pinjaman peribadi datangnya dari NBFI, di mana ia tidak dipantau oleh bank pusat, memberikan pinjaman kepada penjawat awam yang berpendapatan kurang dari RM3,000.
Institusi kewangan bukan bank (Non-Bank Financial Institutions, NBFI) termasuklah Bank Rakyat Sdn Bhd dan Malaysian Building Society Berhad (MBSB), manakala institusi seperti AgroBank, SME Bank dan Lembaga Tabung Haji tergolong di dalam institusi kewangan untuk pembangunan (Development Financial Institutions, DFI)
Puan Azlina Azamuddin, 34, Pegawai Tadbir yang berkhidmat di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), memberitahu yang beliau membuat pinjaman peribadi sebanyak RM120,000 untuk membina dan mengubahsuai rumah beliau di Seremban, Negeri Sembilan. Rumah tersebut kini disewakan beliau dengan harga RM350 sebulan.
Jumlah ansuran bulanan beliau bagi pinjaman peribadi dan kereta mencecah RM2,500 sebulan. Menyewa di rumah teres dua tingkat di Bandar Kinrara, Puchong dengan sewa bulanan RM1,300, perbelanjaan bulanan beliau termasuk bayaran ansuran, sewa rumah, perbelanjaan persekolahan serta barangan dapur mencecah RM5,190. Jumlah tersebut adalah kira-kira 80 peratus daripada pendapatan bulanan beliau iaitu RM6500.
''Susahlah nak menyimpan duit tiap-tiap bulan,'' keluh Puan Azlina. ''Bahaya tu memanglah kan. Sebab kita pun tak tahu bila masa kita susah nanti,''
Puan Azlina turut mengeluarkan tambahan di antara RM400 hingga RM500 pada setiap bulan untuk membayar hutang kad kreditnya yang menimbun ke RM8,000 sejak dari tahun 2011.
''Sebelum ni hutang kad kredit I Rm10,200,'' tambah beliau. ''Setakat ni I dah mengurangkannya ke RM8,000. Tapi, baru ni lah I sedar. Ya Allah! Bila nak habisnya bayar interest ni. Ada RM8,000 lagi nak kena settle. Terrible lah. Nightmare,''
Bagaimanapun, beliau tidak risau jikalau tidak mampu untuk menyelesaikan segala hutang piutangnya oleh kerana pada pendapatnya, beliau tidak akan hilang pekerjaannya sekarang disebabkan beliau berjawatan tetap dan berpencen. Kegawatan ekonomi bukanlah masalah bagi dirinya kerana beliau sudah mempunyai kerjaya yang 'stabil'.
Berdasarkan surat arahan pekeliling yang dikeluarkan untuk perkhidmatan awam, setiap penjawat awam akan dijamin pekerjaannya sehingga mencecah usia pencen. Seseorang penjawat awam akan ditamatkan perkhidmatannya apabila dikenakan tindakan tatatertib.
''Kalau kerja swasta tu, you memang risau lah kan pasal kerja ni,'' ujar Puan Azlina lagi. ''Silap-silap hari bulan boleh kena retrenched, kerja kerajaan ni untung because masa tua nanti boleh dapat pencen. Increment dalam salary tu memang tak banyak lah kan, tapi at least I punya job ni stable,''
Kadar hutang isi rumah rakyat Malaysia dengan KDNK meningkat dari 75.1 peratus pada tahun 2010 ke 76.6 peratus pada 2011 dan 80.6 peratus pada 2012 seterusnya menjadikan Malaysia adalah antara negara yang mempunyai hutang isi rumah tertinggi di rantau Asia.
Walaupun institusi-institusi seperti NBFI dan BFI menyumbang 12 peratus daripada keseluruhan hutang isi rumah rakyat Malaysia, namun ia bertanggungjawab membiayai 57 peratus jumlah pembiayaan peribadi. Peratusan tersebut meningkat sejak akhir-akhir ini.
Syarat permohonan pinjaman peribadi yang semakin longgar mendorong kepada peningkatan peratusan jumlah pinjaman peribadi dalam hutang isi rumah sebanyak 16 peratus pada 2011 kepada 17 peratus pada tahun lalu.
hutang ptptn pun xabis bayor lagik. uhuks3..
BalasPadamdapat duit memanglah seronok.. part nak membayarnya boleh terduduk dibuatnya..
BalasPadamhidup penuh hutang..maka hati banyak susah ma..
BalasPadam