Pilihanraya Umum ke-13 berlalu tanpa membawa sebarang makna signifikan kepada orang-orang marhaen seperti aku. Ditindas secara halus dan dipenjara di dalam sistem. Hidup masih lagi seperti biasa walaupun perkara yang paling nyata adalah kenaikan kos kehidupan disamping kadar pertambahan pendapatan aku sendiri yang sangat perlahan.
Aku tidak berminat menggalakkan isteriku keluar bekerja untuk menampung belanja harian keluarga yang semakin meningkat. Biarlah isteriku gembira menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu kepada kedua orang anakku. Lagipun, aku memang tidak gemar dengan trend semasa mengambil khidmat 'ibu sewa' setiap hari pada ketika kedua ibu dan bapa keluar mencari rezeki.
Beberapa langkah penjimatan dilakukan untuk mengawal perbelanjaan isi rumah. Alhamdulillah, aku memang bukan seorang perokok. Tabiat mengeteh juga sudah menjadi sangat 'rare' oleh kerana kebanyakan kenalan rapat aku tinggal jauh. Perbelanjaan internet pula, dikurangkan daripada prepaid RM68 sebulan kepada RM18 sebulan menggunakan U-Mobile. Pada saya, asalkan ada saja sambungan internet itu sudah memadai. Urusan download-mendownload diwajibkan dibuat di ofis sahaja.
Soal belanja makan semasa hari bekerja, aku sedang dalam usaha membuat bekal makanan sendiri dari rumah. Ini adalah inisiatif diri aku untuk memaksa diri aku bangun awal dan melaksanakan Subuh di awal waktu. Pastinya, bekalan makanan itu dibuat sendiri oleh aku sendiri sebelum waktu Subuh. Usaha ini dilihat sukar tetapi dirasakan lebih realistik berbanding beli makanan siap dari luar yang semakin mahal tetapi terpaksa menjadi hamba kapitalis di malam hari bekerja di Mekdi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan