04 Mei 2013

Cerkot: Cinta Penjawat Awam

Bas ekspress KKKL menderu laju melalui lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menuju ke Bandar Kluang. Salah seorang penumpang bas tersebut bernama Shuib, seorang penjawat awam yang berkhidmat sebagai Juruteknik Komputer gred FT17 yang baru sahaja pulang dari bertemu isteri dan anak-anak beliau yang tinggal di Kuala Lumpur. Beliau bertugas di sebuah sekolah di dalam daerah Kluang, manakala isterinya pula bekerja sebagai Pembantu Makmal C17 di sebuah sekolah di Subang Jaya. Boleh dikatakan, berulang-alik dari Kluang ke Kuala Lumpur sudah menjadi seperti rutin beliau setiap minggu semenjak mendirikan rumah tangga 5 tahun lalu.

Bukannya beliau tidak mahu berpindah tempat kerja, tetapi sudah 7 kali permohonannya untuk berpindah telah ditolak. Pada awal perkahwinan dahulu, beliau berpandangan permintaan pertukaran beliau gagal adalah disebabkan mereka masih belum mempunyai cahaya mata. Pun begitu, semasa isterinya bersalin anak sulung dahulu, permohononan pertukaran beliau masih lagi dukacita. Alasan sudah mempunyai dua orang cahaya mata pun masih tidak lagi mendatangkan hasil. Barangkali bila mempunyai anak satu platun tentera barulah permohonan pertukaran Shuib baru berjaya.

Nasihat kawan-kawan pula, kebanyakannya bagi ayat standard nak sedapkan hati, iaitu, ''Bersabarlah ye. Nanti kau dah dapat anak, dapatlah kau transfer nanti. Rezeki anak lah katakan..'' Kadangkala, ada juga seorang dua kawannya yang makcik-makcik bermulut serupa gampang berkata, ''Dah tau duduk jauh, yang gatal tambah anak tu siapa suruh. Kan dah susah,'' Mujurlah keimanan Shuib masih lagi mampu membuatkan beliau tabah menghadapi dugaan hidup walaupun jikalau beliau mengikut bisikan iblis, mahu saja beliau menyumbatkan mulut makcik itu dengan power supply PC.

Di dalam bas tersebut, Shuib menyelongkar beg galasnya untuk mendapatkan pakaian kedua-dua anaknya, lalu beliau mendakap dan mencium pakaian anak-anaknya itu untuk melepaskan rindu. Pakaian anaknya yang nombor dua itu masih lagi terlekat muak susunya pagi tadi. Tapi Shuib pedulik hapa, busuk-busuk pun anak sendiri jugek. Shuib terus mendakap pakaian anak-anaknya itu sepanjang perjalanan pulang tanpa menghiraukan orang sekeliling terutamanya makwe cun dari KL yang duduk bersebelahan dengan beliau. Makwe KL itu memberikan pandangan yang sayu dan hiba bercampur hairan terhadap kelakuan Shuib.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan